mcmc
Sejarah

Sejarah Kg Bukit Mat Daling

peta

Kg. Bukit Mat Daling dikategorikan sebagai kampung tradisional Melayu. Terletak di Ulu Sungai Tembeling dalam Mukim Ulu Tembeling. Menurut kisah, Kg. Bukit Mat Daling mula didiami pada tahun 1875. Peristiwa penentangan Mat Kilau terhadap Penjajahan British menyebabkan ramai mengikutnya berhijrah ke dalam hutan untuk mencari tempat yang lebih selamat dan aman. Mat Kilau juga menjadikan sungai alur Tembeling sebagai laluan untuk beliau ke Negeri Terengganu.

 

Menurut cerita dari mulut ke mulut, Kg. Bukit Mat Daling baru sahaja mendapat nama iaitu sekitar tahun 60-an. Menurut sumber juga, pada sekitar tahun 70-an satu banjir yang amat besar berlaku. Kebanyakan kampung di sekitar ditengelami air, berdekatan dengan kampung hanya terdapat 2 tempat yang lebih tinggi iaitu tempat perpindahan mangsa banjir yang telah diberi nama Kg. Tanah Pindah. Satu lagi sebuah bukit yang tidak di ketahui namanya. Ketika penduduk menuju ke tempat berpindah, salah seorang penghijrah hanyut di bawa arus, beliau dapat berenang melawan arus dan terdampar di tebing bukit berdekatan. Penduduk yang terselamat itu bernama Mat Dalin dan sempena nama beliau bukit tersebut diberi nama Bukit Mat Daling.

          Bermula dari itu, ramai yang menetap di Kg. Bukit Mat Daling. Kebanyakan penduduknya mempunyai pertalian diraja, yang mana ramai yang berketurunan Wan. Sebilangan penduduknya juga ramai yang berhijrah dari Hulu Terengganu iaitu Pasir Raja dan sebagainya.

         Jika dirujuk pada peta, Kg. Bukit Mat Daling merupakan kampung terakhir di Hulu Tembeling. Terdapat beberapa kampung disekitarnya iaitu Tanah Pindah, Pulau Besar, Belukar, Kuala Semena dan Machang Perah.

                   Secara fizikalnya, Kg. Bukit Mat Daling dan kawasan persekitaran adalah berbukit-bukau. Kebanyakan kediaman didirikan berhampiran dengan sungai.